nuffnang ads

Rabu, 26 Disember 2012

Internet boleh buat Otak Mati macam batu

Seorang pencipta radio klasik, Trevor Baylis memberi amaran kepada generasi muda yang terlalu bergantung kepada Internet boleh mengakibatkan 'otak mati'. Katanya, kanak-kanak yang terlalu bergantung kepada penggunaan internet akan kehilangan kreativiti dan kemahiran kerana terlalu lama menghabiskan masa di hadapan skrin komputer. Baylis berkata, dia bimbang generasi akan datang tidak tahu melakukan apa-apa dengan cara semulajadi dan menggunakan tangan. Bagaimanapun dia berkata, generasi muda boleh mendapatkan kemahiran sekiranya sekolah menggunakan sistem pembinaan model dan lain-lain mainan praktikal. "Kanak-kanak perlu didedahkan secara semulajadi dan bukannya belajar menerusi telefon bimbit atau pergantungan daripada komputer. "Generasi muda hari ini bergantung sepenuhnya kepada pencarian Google. Keadaan ini menjadikan otak mereka mati dan tidak mampu melakukan sesuatu dengan cara yang lama,'' katanya. Mengimbas kembali bagaimana dia memulakan kerjayanya, pencipta radio yang berusia 75 tahun itu, berkata dia mula mencipta peranti pada usia lima tahun. "Suatu hari, seorang perempuan memberikan kotak yang berisi model pembinaan untuk dia menghasilkan sesuatu berdasarkan kreativitinya sendiri,'' ujarnya. Jelasnya, penggunaan model pembinaan mampu meningkatkan kreativiti seseorang. Beliau percaya bahawa cabaran mudah pada model pembinaan akan memberikan generasi muda hari ini kemahiran dan idea yang tidak ternilai Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20121227/lu_04/Internet-sebabkan-otak-mati#ixzz2GEFOMQSF © Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, 24 Disember 2012

kisah Mr Asia-Malek Noor

MEMEGANG gelaran Mr. Asia sebanyak enam kali, nama Abdul Malek Mohamad Noor tidak perlu diperkenalkan lagi. Lantaran kecemerlangan yang diraihnya, anak kelahiran Batu Pahat, Johor itu pernah menerima anugerah Pingat Emas Personaliti Sukan Benson & Hedges 1985 diikuti gelaran Olahragawan Negara pada tahun 1986 dan 1990. Selain itu, beliau juga diiktiraf sebagai Ahli Mangku Negara (AMN) dan penerima Pingat Sultan Ibrahim (1986); Legendary Sportsman of Malaysia dan Coca-Cola Olympian 2007 serta terbaru Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 30 Mac tahun lalu. Sewaktu zaman kegemilangannya sekitar 1980-an dan 1990-an, Malek turut menceburi industri seni sebagai pelakon menerusi beberapa buah filem seperti Ujang, Juara, Rimba Malam, Kelisa, Pendekar Mata Satu dan Sahabat. Pendek kata, Malek merupakan selebriti terkenal yang menjadi pujaan ramai ketika itu. Namun, artikel yang disiarkan pada 8 Jun 2010 itu juga menyingkap satu kisah fasa hidup baru Malek. Segala kemasyhuran dan kemewahan yang dikecapi membuatkan beliau alpa dengan kehidupan duniawi yang bersifat sementara sehingga mengabaikan kewajipan sebagai umat Islam. Menceritakan detik-detik cahaya keimanan mula bersinar di hatinya, Malek memberitahu apabila usia semakin meningkat, jiwanya mula meronta untuk mengubah gaya hidup Barat yang dijalaninya. Kejayaan dan kemewahan sudah tidak mampu mententeramkan jiwa lelaki berbadan gagah perkasa itu. Rentetan itu juga, Malek sering didatangi mimpi-mimpi ngeri seperti dibakar api neraka, tubuhnya dikelar-kelar dengan besi panas dan banyak lagi. Kemudian, satu demi satu musibah mula melanda dirinya membuatkan hati kecil Malek berbisik: “Mungkin inilah ujian Allah kerana Dia mahu aku kembali menjadi muslim sejati.” Bagaimanapun, insiden yang berlaku pada 2002 merupakan titik tolak kepada penghijrahan Malek yang sebenar. Ketika itu, beliau hanya berseluar pendek dan berdiri di balkoni Penthouse miliknya yang menghadap Menara Berkembar Petronas KLCC. “Sedang asyik memerhatikan pemandangan luar, tiba-tiba saya terdengar laungan azan yang berkumandang dari masjid berhampiran dan ia terus menusuk ke dalam kalbu saya. “Waktu itu saya seperti orang gila apabila ke hulu ke hilir di dalam rumah tanpa mengetahui apa yang perlu dicari. Kemudian, saya menangis sepuas-puasnya sebelum mengambil wuduk dan terus menunaikan solat Maghrib walaupun tidak pasti ia menepati rukun atau tidak. “Esoknya saya ke Jalan Masjid India dan membeli sebuah kitab suci al-Quran serta beberapa buku mengenai Islam,” terang Malek. Pada tahun 2008, Malek mengambil tindakan drastik apabila membuang semua piala yang pernah dimenanginya satu ketika dahulu kerana menganggap kesemua piala berbentuk patung itu menjejaskan keimanannya selama ini. Kini, setiap malam sebelum tidur, Malek akan berdoa semoga dipanjangkan usia agar dia dapat terus bersujud kepada-Nya untuk setiap kesalahan yang pernah terlanjur dilakukan sepanjang hidup. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0412&pub=Kosmo&sec=GenK&pg=gk_02.htm#ixzz2FOV0vNMp Hakcipta terpelihara

Ahad, 23 Disember 2012

Johor bukan tempai bercuti

PASUKAN Johor Darul Takzim bukanlah tempat ‘percutian’ untuk pemain-pemain berstatus bintang sebaliknya mereka mempunyai misi besar untuk membantu Harimau Selatan muncul juara saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pasukan Johor Darul Takzim mempunyai matlamat besar iaitu untuk menjadi juara sekali gus menjadi pasukan yang digeruni pihak lawan. “Mereka (pemain) bukan datang sini (Johor) untuk bercuti dan hanya menerima gaji setiap bulan tetapi kami mempunyai matlamat besar yang untuk dicapai. “Kami mahu menaikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan ini. Kami telah merancang hampir setahun untuk mengenal pasti pemain-pemain berkualiti,” titah baginda pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam. Pada majlis tersebut, tujuh pemain baharu Johor Darul Takzim termasuk lima pemain Harimau Malaya yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2012, Norshahrul Idlan Talha, Safiq Rahim, Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut hadir untuk sesi bertemu peminat. Selain mereka, turut hadir kembar Aidil, Zaquan Adha dan dua pemain import, Daniel Guiza dan Simone Del Nero. Dalam pada itu, kesemua pemain yang hadir berjanji akan memberi komitmen dan aksi terbaik buat pasukan sebaik sahaja mereka menjalani latihan 23 Disember ini. Bagi penyerang sensasi, Mohd. Safee Sali, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim yang dilabel sebagai ‘pasukan impian’. “Selepas dua tahun berkelana di Indonesia, saya harap dapat mencurahkan semua pengalaman bagi membantu pasukan baharu saya ini menjadi juara. “Saya mempunyai rakan sepasukan yang hebat tetapi kami perlu pastikan kami semua berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya. Sementara itu, bagi kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula, dia memilih untuk menyertai pasukan Harimau Selatan kerana inginkan cabaran baharu. “Saya menerima cabaran ini demi karier saya dalam sukan bola sepak dan Insya Allah saya akan berikan komitmen 100 peratus buat pasukan ini,” katanya. Bagi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, bergandingan bersama penjaring terbanyak Liga Indonesia, Safee dan bekas penjaring terbanyak La Liga, Guiza dianggap sebagai peluang menarik untuk dia meningkatkan lagi mutu permainan. “Memang bagus apabila terdapat ramai penyerang dalam satu pasukan dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya. Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Fandi Ahmad memberi amaran, meskipun berstatus bintang ia bukanlah tiket untuk kesemua pemain kebangsaan yang menyertai pasukan Johor Darul Takzim dijanjikan tempat dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan. “Semua 27 pemain ada hak untuk merebut tempat. Saya amat mementingkan disiplin dan semangat berpasukan. Tidak semua pemain akan mendapat tempat secara automatik,” katanya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2FOUJ1LH5 Hakcipta terpelihara

Sabtu, 22 Disember 2012

KWSP di gesa beri dividen tinggi pada pencarum tahun ini

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menggesa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengisytiharkan dividen lebih tinggi pada tahun ini berikutan peningkatan pendapatan pelaburannya. KWSP baru-baru ini mengumumkan pendapatan pelaburannya meningkat kepada RM7.02 bilion pada suku ketiga tahun ini berakhir 30 September. Naib Presiden MTUC, A.Balasubramaniam hari ini memberitahu bahawa berdasarkan keadaan itu, adalah wajar bagi KWSP mengisytiharkan dividen lebih tinggi. KWSP mengisytiharkan enam peratus dividen bagi 2011. Balasubramaniam berkata, majoriti daripada 10 juta pekerja sektor swasta mengharapkan dividen lebih baik daripada KWSP kerana ia merupakan satu-satunya sumber simpanan bagi mereka

Jumaat, 21 Disember 2012

Macam mana boleh jadi macam ni-cedera ketika melakukan hubungan seks

Seorang pegawai kerajaan Australia yang cedera ketika melakukan hubungan seks di sebuah bilik motel ketika mengadakan lawatan kerja, memenangi kes tuntutan pampasan daripada kerajaan selepas lima tahun perbicaraan. The Associated Press semalam menyiarkan keputusan Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Disember lalu yang menolak rayuan syarikat insurans kerajaan, Comcare, yang menentang keputusan mahkamah sebelum ini yang menyatakan wanita itu cedera akibat majikannya. Wanita yang tidak didedahkan identitinya itu, menginap di sebuah motel di pekan Nowra, 160 kilometer ke selatan Sydney, pada 26 November 2007. Ketika dia melakukan hubungan seks, mentol lampu kaca dari siling bilik motel itu jatuh dan mengenai mukanya, menyebabkan hidung dan mulutnya cedera. Akibat insiden itu, dia mengalami kemurungan dan tidak lagi boleh bekerja dengan kerajaan dan menuntut pampasan atas kecederaan fizikal dan psikologi. Tuntutan itu pada mulanya diluluskan oleh Comcare, tetapi kemudiannya ditolak selepas siasatan lanjut dibuat. Rayuannya kepada Tribunal Rayuan Pentadbiran kerajaan tidak berjaya kerana tribunal itu bersetuju dengan Comcare bahawa kecederaan yang dialaminya bukan disebabkan majikan kerana kerajaan tidak menggalakkannya melakukan hubungan seks. Dia bagaimanapun memenangi rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 19 April lalu apabila Hakim John Nicholas menolak hujah tribunal itu. Dalam keputusan penuh pada minggu lalu, Hakim Patrick Keane, Robert Buchanan dan Mordy Bromberg bersetuju bahawa hujah kerajaan mengenai hubungan seks wanita itu di motel tidak mempunyai kaitan. Bagaimanapun jumlah pampasan yang diterimanya tidak dinyatakan.

Khamis, 20 Disember 2012

PROTON SATRIA R3 NEO-BAGUS

SATRIA Neo R3 yang diperkenalkan oleh Proton Holdings Berhad (Proton) ke pasaran tempatan minggu lalu merupakan varian lanjutan daripada model Satria Neo CPS. Jentera dua pintu itu kini diberi solekan menerusi penggunaan beberapa komponen R3 (Race, Rally, Research). R3 adalah bahagian sukan bermotor berprestasi Proton. Bahagian hadapan Satria Neo R3 dipasang spliter pada bampar, manakala bahagian belakang pula dilengkapi spoiler. Bahagian tepi dilengkapi pelindung berwarna titanium yang memanjang di antara kedua-dua roda hadapan dan belakang. Model hatchback itu dipasang dengan rim R3 bersaiz 16 inci yang dibalut tayar Continental MC5 195/50. Suspensi asal iaitu jenis topang MacPherson dan multilink dengan bar penstabil (stabilizer bar) dikekalkan pada varian baharu itu. Ruang dalaman kabin menyaksikan pembaharuan menerusi tempat duduk jenis semi-bucket dengan material kulit upholsteri. Tambahan lain ialah alas kaki R3 dan sistem audio Double DIN dengan navigasi. Satria Neo R3 didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu merah, perak, hitam dan kuning S2000. Kuasa yang disalurkan kepada roda diperoleh daripada enjin empat silinder sebaris CPS 1.6 liter. Kuasa maksimum yang mampu dijana ialah 125hp @ 6,500rpm. Tork pula pada paras 150Nm @ 4,500rpm. Dua jenis transmisi ditawarkan iaitu manual dan automatik. Kelajuan maksimum bagi manual adalah 190 kilometer sejam (km/j), manakala automatik pula 185km/j. Harga bagi varian Executive Line AT ialah RM64,250 seunit. Model Executive Line MT ditawarkan pada harga RM61,250. Jentera itu hadir bersama jaminan selama tiga tahun atau jarak perbatuan 100,000km (mana-mana tiba dulu). Bagi mereka yang mahukan tambahan komponen R3, anda boleh berbuat demikian. Antaranya set R3 Satria Neo Spring (RM541), sistem ekzos penuh dan ECU R3 Satria Neo Campro (RM2,841) serta beberapa pilihan R3 lain. Harga promosi berkenaan hanya ditawarkan sehingga 31 Disember ini, selain tertakluk kepada terma dan syarat Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1208&pub=Kosmo&sec=Pemotoran&pg=pe_02.htm#ixzz2F0oS2eM9 Hakcipta terpelihara

Selasa, 18 Disember 2012

Pelakon Duda 12 tahun, Ridzuan tak nakal

PELAKON lelaki terbaik Festival Filem ke-9 menerusi filem Hati Bukan Kristal, Ridzuan Hashim nampaknya masih mampu bertahan sebagai salah seorang pelakon terkenal hingga kini. Dengan fizikal yang masih tegap dan tampan pada usia 48 tahun, Ridzuan kerap membuat hati banyak wanita tertawan kepadanya. Walaupun tidak lagi membawa watak romantis seperti zaman kegemilangannya, dia masih mampu mencuri tumpuan, terutama selepas lakonan memberangsangkan sebagai King dalam filem pecah panggung, KL Gangster tahun lalu. Jarang muncul di dada akhbar atau media massa lain, Ridzuan yang ditemui baru-baru ini dalam sidang media memperkenalkan dirinya sebagai hos program Panik, berkongsi cerita tentang perjalanan kariernya yang masih lancar. Paling menjadi perhatian, Ridzuan yang mengaku dirinya nakal tetapi bertempat, memberi sebab kenapa dia masih menduda selepas 12 tahun bercerai dengan pelakon Didie Alias. Kosmo!: Maaf bertanya, oleh kerana kisah peribadi anda sangat jarang dipaparkan media, jadi ramai yang bertanya tentang status anda. Adakah anda sudah berkahwin sekarang atau masih solo? RIDZUAN: Saya masih solo dan selesa hidup macam ini. Walaupun sudah 12 tahun hidup sendiri, tetapi saya tidak kisah. Dua belas tahun adalah satu tempoh yang panjang untuk seorang lelaki menduda. Kenapakah anda masih menduda? Tidak dinafikan, dalam tempoh 12 tahun menduda, saya pernah berkenalan dengan beberapa wanita. Bagaimanapun, semua perancangan untuk mendirikan rumah tangga tidak menjadi kenyataan. Kenapakah cinta anda sering terkandas? Mungkin sebab tiada jodoh. Lagi pun kerja lakonan saya dengan jadual yang tidak menentu membuatkan saya rasa lebih baik solo dahulu. Adakah penyebab anda masih menduda sampai sekarang kerana sikap anda yang agak nakal itu? Saya hanya nakal menerusi SMS (khidmat pesanan ringkas) sahaja. Pada usia sekarang, tidak mungkin saya nak buat benda tidak elok. Saya kira, nakal saya bertempat. Maruah saya lebih tinggi daripada segala-galanya. Jadi, anda seperti ada prinsip sendiri untuk kekal bertahan hingga kini? Harga diri dan nilai kehidupan kita perlu diletak di tempat teratas, kerana ia sangat bernilai. Jadi, ia perlu dijaga baik-baik. Maruah diri saya perlu dijaga agar tidak dikotori dengan perkara-perkara murahan yang boleh menjejaskan periuk nasi saya nanti. Mengenai kerjaya pula, kenapakah anda mengambil keputusan untuk menjadi pengacara dalam program Panik ini? Saya tidak pernah mendapat tawaran menjadi pengacara sebelum ini. Jadi apabila dapat tawaran itu, saya cuba cabar diri sendiri. Bagaimanakah rasanya pertama kali menjadi pengacara, seronok atau tidak? Pada awalnya saya mengaku agak kekok, tetapi lama-kelamaan seronok juga sebab boleh kenakan peserta lain dan ia juga satu bidang baharu buat saya. Anda sering membawa watak gengster dan lelaki korporat, adakah anda seronok begitu? Saya agak bosan sebenarnya, tetapi saya anggap itu sebahagian kerja. Kita tidak boleh memilih sangat, nanti orang tidak mahu tawar kerja pula. Apakah projek anda selepas ini, berlakon filem atau drama? Saya akan muncul dalam filem KL Gangster 2 tidak lama lagi dan dua telemovie iaitu Aduhai Empat dan Papaku Heroku Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1214&pub=Kosmo&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm#ixzz2F0n8yxGG Hakcipta terpelihara