nuffnang ads

Jumaat, 20 Januari 2012

ROSLIN HASHIM DAH 3 KALI KAHWIN

Roslin Hashim mengaku berkahwin kali ketiga, enggan dedah isteri



--------------------------------------------------------------------------------


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Bekas pemain badminton kebangsaan, Roslin Hashim yang pernah dikaitkan atas dakwaan khalwat dengan penerbit kontroversi, Raja Azmi Raja Sulaiman, mengaku berkahwin buat kali ketiga pada tahun lalu.

Bagaimanapun, Roslin enggan memberitahu siapa wanita yang menjadi isterinya itu walaupun berulang kali diasak dengan soalan tersebut oleh wartawan yang menemu ramah beliau di pekarangan Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini.

Ketika ditanya mengapakah Roslin, 36, bertindak merahsiakan identiti isterinya, beliau hanya menjawab:

"Minta maaf, saya tidak boleh menceritakan lebih lanjut mengenai wanita itu bagi menghormati beliau dan keluarganya."

Pemain badminton itu berkata demikian selepas perbicaraan secara tertutup tuntutan ganti rugi perkahwinan yang dikemukakan beliau terhadap bekas isterinya, Faizah Mohamed, 35.

Selain Faizah yang dinikahi pada 30 Januari 2007, Roslin pernah berkahwin buat kali kedua dengan Pengarah Pemasaran dan Promosi, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Nurhayati Othman, 41, 9 Julai 2010.

Perceraian Roslin dan Faizah pernah mengejutkan banyak pihak bukan sahaja kerana ia berlaku dalam masa 12 hari selepas pernikahan tetapi lelaki itu ketika prosiding pengesahan perceraiannya bersumpah bahawa tiada hubungan kelamin berlaku dalam tempoh tersebut.

Hubungan suami isteri antara Roslin dan Nurhayati juga bertahan dalam tempoh tidak sampai sebulan sebelum mereka disahkan bercerai dengan lafaz talak satu oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini, dua tahun lalu.

Nurhayati dalam keterangannya ketika prosiding untuk mengesahkan lafaz cerai itu, mendakwa Roslin mengucapkan, 'I cerai u lah' terhadapnya di bilik 533, Hotel Corus, Jalan Ampang di sini pada pukul 8.32 malam, 7 Ogos 2010.

Pegawai Finas itu turut mendakwa dia bersama-sama ibu dan dua adik lelakinya telah pergi ke hotel berkenaan selepas mengetahui bahawa Roslin dan Raja Azmi berada di bilik hotel tersebut.

Pada Ogos tahun lalu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) sebaliknya mendapati Roslin dan Raja Azmi bebas daripada dakwaan khalwat setelah mereka didapati tidak bersama dalam satu bilik dalam satu serbuan dibuat oleh Nurhayati selaku pengadu dalam kes berkenaan.

Sementara itu, peguam syarie Ruslizam Rahim yang mewakili Roslin selaku plaintif memberitahu pemberita, perbicaraan tuntutan ganti rugi perkahwinan tersebut akan disambung semula di hadapan Hakim Syarie, Abdul Walid Abu Hassan pada 22 Mac ini.

Menurut Ruslizam, pada prosiding akan datang, pihaknya akan memanggil tiga saksi termasuk Raja Azmi.

Pada 12 Ogos 2009, Roslin memfailkan tuntutan ganti rugi perkahwinan terhadap defendan, Faizah yang merangkumi perbelanjaan ketika merisik dan berkahwin dengan wanita pertama dinikahinya itu.

Roslin antara lain menuntut semua perbelanjaan semasa merisik, bertunang dan berkahwin termasuk cincin risik bernilai RM1,900, kos pengangkutan (RM200) dan barangan pertunangan (RM2,915).

Bagi perbelanjaan sewaktu perkahwinan pula, Roslin menuntut duit hantaran dan mas kahwin (RM15,080); bayaran juru nikah (RM150), upah solekan pengantin dan sewa barang kemas (RM500); barang hantaran (RM11,465); baju dan kasut pengantin perempuan (RM6,750).

Turut dituntut adalah khidmat video (RM2,000), kad jemputan kahwin (RM700), pengangkutan dan penginapan (RM1,300), perbelanjaan kenduri di Kelantan (RM10,000) serta tiket kapal terbang pengantin (RM500).

Faizah turut hadir ke prosiding hari ini dengan ditemani peguam syarie yang mewakilinya, Amir Nazli Hussin.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Ulasan dari Blogger terbaik