Korea Utara bertindak balas
07 Mac 2017 12:33 AM
442
SEOUL 6 Mac – Korea Utara mengisytiharkan Duta Besar Malaysia ke negara itu, Mohamad Nizan Mohamad sebagai ‘persona non grata’ dan perlu meninggalkan Pyongyang dalam tempoh 48 jam bermula pukul 10 pagi waktu tempatan.
Agensi berita tempatan, KCNA seperti dipetik oleh Reuters melaporkan, arahan itu dikeluarkan sejurus selepas Duta Besar Korea Utara, Kang Chol meninggalkan Malaysia pada pukul 3.55 petang waktu Malaysia hari ini.
Kang Chol diarahkan meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam selepas Malaysia mengambil tindakan tegas dengan mengisytiharkan beliau sebagai ‘persona non grata’ (orang yang tidak dihargai) dan mengarahkan pegawai berkenaan meninggalkan negara itu.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu Nota Diplomatik yang dihantar kepada Kedutaan Besar Korea Utara selepas Kang Chol dan pegawai kanan dari kedutaan itu tidak hadir untuk bertemu Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin di Wisma Putra di Putrajaya, Malaysia.
Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar Malaysia, Raja Nushirwan Zainal Abidin ketika dihubungi oleh Utusan mengesahkan perkara tersebut dan berkata, tindakan Korea Utara itu sudah dijangka dan tidak mengejutkan.
“Perlu diingatkan bahawa Duta Malaysia ke Korea Utara sudah dipanggil pulang oleh kerajaan dan beliau telah berada di Malaysia,” katanya.
Artikel Penuh:© Utusan Melayu (M) Bhd