nuffnang ads

Ahad, 23 Disember 2012

Johor bukan tempai bercuti

PASUKAN Johor Darul Takzim bukanlah tempat ‘percutian’ untuk pemain-pemain berstatus bintang sebaliknya mereka mempunyai misi besar untuk membantu Harimau Selatan muncul juara saingan Liga Malaysia (Liga M) musim hadapan. Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bertitah, pasukan Johor Darul Takzim mempunyai matlamat besar iaitu untuk menjadi juara sekali gus menjadi pasukan yang digeruni pihak lawan. “Mereka (pemain) bukan datang sini (Johor) untuk bercuti dan hanya menerima gaji setiap bulan tetapi kami mempunyai matlamat besar yang untuk dicapai. “Kami mahu menaikkan semula nama Johor dalam arena bola sepak tempatan dan saya amat gembira dengan pasukan ini. Kami telah merancang hampir setahun untuk mengenal pasti pemain-pemain berkualiti,” titah baginda pada sidang akhbar di Johor Bahru semalam. Pada majlis tersebut, tujuh pemain baharu Johor Darul Takzim termasuk lima pemain Harimau Malaya yang beraksi pada Piala Suzuki AFF 2012, Norshahrul Idlan Talha, Safiq Rahim, Azmi Muslim dan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut hadir untuk sesi bertemu peminat. Selain mereka, turut hadir kembar Aidil, Zaquan Adha dan dua pemain import, Daniel Guiza dan Simone Del Nero. Dalam pada itu, kesemua pemain yang hadir berjanji akan memberi komitmen dan aksi terbaik buat pasukan sebaik sahaja mereka menjalani latihan 23 Disember ini. Bagi penyerang sensasi, Mohd. Safee Sali, dia sudah tidak sabar untuk beraksi bersama Johor Darul Takzim yang dilabel sebagai ‘pasukan impian’. “Selepas dua tahun berkelana di Indonesia, saya harap dapat mencurahkan semua pengalaman bagi membantu pasukan baharu saya ini menjadi juara. “Saya mempunyai rakan sepasukan yang hebat tetapi kami perlu pastikan kami semua berada pada tahap terbaik dalam setiap perlawanan,” katanya. Sementara itu, bagi kapten skuad kebangsaan, Safiq Rahim pula, dia memilih untuk menyertai pasukan Harimau Selatan kerana inginkan cabaran baharu. “Saya menerima cabaran ini demi karier saya dalam sukan bola sepak dan Insya Allah saya akan berikan komitmen 100 peratus buat pasukan ini,” katanya. Bagi Norshahrul atau lebih dikenali sebagai Mat Yo, bergandingan bersama penjaring terbanyak Liga Indonesia, Safee dan bekas penjaring terbanyak La Liga, Guiza dianggap sebagai peluang menarik untuk dia meningkatkan lagi mutu permainan. “Memang bagus apabila terdapat ramai penyerang dalam satu pasukan dan kami akan berusaha sebaik mungkin untuk menjaringkan lebih banyak gol,” katanya. Dalam pada itu, jurulatih pasukan, Fandi Ahmad memberi amaran, meskipun berstatus bintang ia bukanlah tiket untuk kesemua pemain kebangsaan yang menyertai pasukan Johor Darul Takzim dijanjikan tempat dalam kesebelasan utama pada setiap perlawanan. “Semua 27 pemain ada hak untuk merebut tempat. Saya amat mementingkan disiplin dan semangat berpasukan. Tidak semua pemain akan mendapat tempat secara automatik,” katanya. Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1218&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_01.htm#ixzz2FOUJ1LH5 Hakcipta terpelihara

1 ulasan:

  1. assalamualaikum abghani...betul tu jangan lalai yer tugas harus dilaksanakan dgn jayanya...:)

    BalasPadam

Ulasan dari Blogger terbaik