nuffnang ads

Jumaat, 16 Disember 2011

Band Search masih popular



Konsert termahal Search

Gambar:-TAHUN ini Search meraikan ulang tahun ke-30 penubuhan mereka.


SEPANJANG 30 tahun ditubuhkan, kumpulan rock legenda tanah air, Search telah mengadakan banyak konsert sama ada yang berskala kecil ataupun besar di seluruh negara termasuklah di Indonesia dan Singapura.
Bagaimanapun, kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 1981 di Johor Bahru itu mengakui, sepanjang tiga dekad ditubuhkan mereka belum merasai kepuasan sebagai pemuzik dalam konsert-konsert yang mereka adakan itu.
Menurut pemain bass Search, Nasir Daud antara sebab yang mencetuskan rasa kurang puas hati mereka ialah apabila pihak penganjur gagal menyediakan sistem bunyi, lampu dan pentas yang berkualiti pada konsert-konsert kumpulannya itu.
"Bukan setakat Search, malah saya yakin para peminat juga selama ini ramai yang merungut kerana kebanyakan sistem bunyi pada konsert yang kami adakan kurang memuaskan hati biarpun ia sebuah konsert yang besar.
"Selepas 30 tahun pada tahun ini barulah kami dapat merasakan kepuasan apabila pihak penganjur Konsert Fenomena Search 30 Tahun menyediakan sistem bunyi yang berkualiti tinggi untuk konsert ulang tahun kami itu," katanya.
Search, kata Nasir, turut mencipta sejarah mereka sendiri apabila konsert itu yang menelan kos penganjuran RM1.3 juta. Ia adalah yang termahal untuk kumpulan yang dianggotai lima rockers berasal dari Johor Bahru tersebut.
Jelas Nasir, konsert anjuran Universal Credential Sdn. Bhd. dan Nova Music (M) Sdn. Bhd. itu yang akan diadakan di lokasi terakhirnya untuk tahun ini di Sabah dan Sarawak dianjurkan sebagai menghargai sokongan para peminat mereka.
"Demi peminat dan juga sempena ulang tahun Search ini maka sudah sampailah masanya kami memberikan sesuatu yang boleh memuaskan hati para peminat kami. Kos RM1.3 juta itu juga adalah sesuai untuk kumpulan seperti kami.
"Kos itu banyak digunakan bagi menyediakan sistem bunyi, lampu dan pentas di dua konsert kami di Kompleks Sukan Tawau, Sabah pada 24 Disember ini dan di Stadium Negeri Kuching, Sarawak pula pada 31 Disember ini.
"Ini adalah peruntukkan terbesar yang berani dikeluarkan oleh pihak penganjur untuk Search setakat ini. Sebab itu, tidak keterlaluan kalau kami katakan ini adalah konsert terbaik Search setakat ini daripada segi kualiti sistem bunyi," ujarnya.
Nasir dan Search ditemui pada sidang akhbar Konsert Fenomena Search 30 Tahun - Jelajah Borneo yang diadakan di Kelab Borneo Baruk, Kuala Lumpur. Ia adalah susulan pada konsert mereka di Pulau Pinang dua minggu lalu.
Pada konsert itu hampir 20,000 penonton hadir menyaksikannya biarpun dalam keadaan hujan lebat tetapi mereka enggan berganjak kerana terpukau dengan kualiti sistem bunyi, penataan sahaja dan set pentasnya.
Tambah Nasir, Search bukan sahaja berpuas hati dengan sambutan para peminat tetapi sistem bunyi yang dihasilkan pada konsert tersebut juga bersih, segar dan berjaya menampung kapasiti ruang terbuka tempat konsert itu diadakan.
Peruntukan besar itu turut memberi imej dan pengiktirafan buat Search yang sepatutnya sejak dari dulu lagi layak beraksi dalam konsert yang berkualiti tinggi sesuai dengan taraf mereka sebagai kumpulan rock legenda.
"Sebelum ini, ramai peminat merungut dan kecewa kerana kebanyakan yang menonton konsert Search bercakap tentang mutu sistem bunyi yang teruk. Mereka kata perkara itu tidak patut berlaku pada kumpulan seperti kami.
"Justeru kami puas hati apabila siri konsert bergerak ini mendapat sambutan di luar dugaan. Ia bolehlah dianggap sebagai yang terbaik di sepanjang penubuhan kami tiga dekad lalu," ujarnya dengan penuh yakin.
Selain Nasir, hadir sama pada majlis pengumuman siri konsert yang mampu meninggalkan kenangan manis buat Search ialah empat lagi anggota kumpulan itu, Amy (vokalis), Din (gitaris), Kid (gitaris) dan Yazit (dram).
Seterusnya, Search akan menghiburkan peminatnya di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MIECC), Mines, Kuala Lumpur pada hari Sabtu ini (17 Disember) ini.
Sebelum ini, lokasi asalnya adalah di Padang Astaka, Petaling Jaya, Selangor, namun disebabkan cuaca ketika ini yang sukar diramal, pihak penganjur membuat keputusan untuk menukar lokasi baru.
Bagi mereka yang berminat untuk menonton konsert ini, tiket berharga RM69 masih lagi dijual dan bolehlah dibeli di cawangan-cawangan Petronas yang mengambil bahagian, toko muzik Rock Corner dan wakil jualan sah yang tersenarai di www.tickethotline.com.my.
Peminat yang sudah pun membeli tiket untuk Padang Astaka pula, usah bimbang kerana tiket tersebut masih boleh digunakan di lokasi baru.


bilapahatberbunyi:Band rock tempatan terbaik dan masih popular setakat ini.

2 ulasan:

Ulasan dari Blogger terbaik