nuffnang ads

Ahad, 6 November 2011

Banjir di Thailand-Kemusnahan dan Krisis Kemanusiaan





KETIKA satu pertiga kawasan di ibu kota Bangkok masih ditenggelami air, tebing Sungai Chao Phraya dikatakan tidak mampu lagi menampung jumlah air yang semakin meningkat.
Banjir di Bangkok diramalkan tidak akan surut. Malah dalam masa beberapa hari lagi ia dikatakan akan merebak ke beberapa daerah lagi di kota raya itu.
Dikatakan dalam masa sebulan air memenuhi jalan-jalan raya, premis perniagaan dan kawasan kediaman itu belum tentu akan surut.
Namun bagi penduduk Bangkok hidup terpaksa diteruskan. Di daerah Sai Mai, seorang wanita, Wandee berdiri di tepi jalan utama yang telah berubah menjadi sungai dengan air yang mencecah paras lutut terus menjual petrol yang diisi dalam botol kepada pemandu yang lalu lalang. Seperti majoriti penduduk, dia tetap tinggal di kawasan itu walaupun arahan berpindah telah dikeluarkan.
Paras air terus meningkat dengan pihak berkuasa tidak mampu berbuat apa-apa selain mengarahkan penduduk yang terjejas berpindah.
"Kami akan tunggu di sini semalam lagi. Tengok keadaan macam mana. Kecuali jika paras air terlalu tinggi," katanya.
Bangkok kini berhadapan dengan situasi cemas. Jalan-jalan utamanya bertukar menjadi sungai. Banjir kini menghampiri daerah Thonburi dan sedikit demi sedikit mula menghampiri kawasan tumpuan pelancong dan perniagaan.
Sungai Chao Phraya yang membelah tengah-tengah bandar raya Bangkok tidak mampu menampung air yang semakin meningkat. Paras air di sungai itu dijangka melepasi tebingnya minggu ini apabila air laut pasang. Apabila tebingnya pecah ia pasti akan mengancam kawasan tengah Bangkok.
Kerajaan pula telah melakukan pelbagai usaha termasuk menggerakkan lebih 50,000 tentera, 1,000 trak dan 1,000 bot untuk operasi bantuan.
Trak-trak askar berulang-alik memindahkan penduduk dengan melepasi kawasan benteng yang dibuat daripada guni-guni pasir yang kelihatan seolah-olah kubu perang.
Walaupun banjir mencecah paras lutut, di kiri kanan jalan peniaga menjual pelbagai jenis barang terutama yang berkaitan dengan banjir seperti but getah, jaket keselamatan malah rakit getah.
Wandee yang tetap dengan pendirian untuk tidak berpindah percaya kepada semangat kerjasama antara penduduk di situ dalam berhadapan bencana tersebut.
"Kami bergantung antara satu sama lain. Bukan kerajaan," tegasnya.
Wandee merupakan contoh sebahagian penduduk di Bangkok yang enggan meninggalkan kediaman masing-masing walaupun paras air semakin meningkat.
Pihak berkuasa metropolitan Bangkok telah mengeluarkan arahan berpindah demi keselamatan penduduk.
Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata, minggu ini merupakan tempoh paling kritikal disebabkan jumlah air yang menghampiri Bangkok makin besar.
Malah Perdana Menterinya, Yingluck Shinawatra berkata, keyakinan beliau bahawa zon tengah Bangkok tidak dinaiki air sepenuhnya hanya 50 peratus.
Kerajaan Thailand juga mengumumkan cuti umum lima hari untuk membolehkan rakyat berpindah dan pusat-pusat bantuan dibuka di seluruh negara.
Dengan penerbangan domestik telah habis ditempah, pengangkutan awam sendat dengan penumpang dan jalan raya sesak, dianggarkan beratus-ratus ribu penduduk sudah meninggalkan kota raya itu.
Mereka yang terus tinggal pasti akan berhadapan dengan risiko. Pertubuhan Palang Merah telah mengeluarkan amaran penduduk akan berhadapan dengan krisis kemanusiaan.
Ia termasuk penyakit yang disebabkan nyamuk selain krisis makanan kerana bekalan bahan keperluan seperti air minuman, telur dan mi segera telah kehabisan.
Malah bahaya juga menunggu di dalam air. Ular, tikus dan buaya yang terlepas dari ladang ternakan kini turut mengancam penduduk.
Seorang pekerja di sebuah pasar di utara Bangkok, Nipapat berkata, dia nampak seekor buaya telah menyerang kanak-kanak yang bermain dalam air.
"Beberapa orang yang tinggal di kejiranan itu telah memburu dan membunuhnya," katanya.
Banjir yang melanda memang memberikan kesan yang dahsyat kepada Thailand. Lebih 380 orang terbunuh dan satu pertiga daripada wilayah di negara itu dilanda bencana banjir yang serius yang menjejaskan 2.2 juta penduduk.
Kerugian yang disebabkan oleh banjir itu pula telah mencecahkan 800 bilion bath (kira-kira RM80 bilion) dan ia terus meningkatkan ekoran situasi banjir yang masih kritikal.
Bandar Chonburi yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan ke selatan Bangkok menjadikan kompleks sukan sebagai pusat pemindahan untuk menampung pelarian banjir dari ibu negara itu.
Bagi seorang mangsa banjir, Luangjan, ini merupakan pusat pemindahan banjir yang kedua dihuninya. Yang pertama telah ditenggelami air beberapa hari ini.
Dia meninggalkan Rangsit di utara Bangkok minggu lalu dengan 10 ahli keluarganya.
"Empangan pecah. Air naik dengan cepat dan arus terlalu deras untuk kami menyelamatkan harta benda," jelasnya.
Mereka memindahkan ahli keluarga ke kawasan kering dengan apa juga benda yang boleh timbul seperti besen sebelum diselamatkan oleh pihak tentera. Namun apa yang membimbangkan Luangjan ialah bukan soal air banjir yang tiada tanda-tanda akan surut, tetapi apa yang akan berlaku dalam hidupnya selepas banjir surut.
Perniagaan salon rambutnya semuanya telah musnah.
Ketika ini seolah-olah tidak ada kawasan yang terselamat daripada banjir di Bangkok.
Di Ayutthaya, kilang pemasangan kenderaan Honda dan Toyota untuk pasaran Asia Tenggara terpaksa menghentikan operasi ekoran ditenggelami banjir.










Bilapahatberbunyi-Allah maha berkuasa,kuasa alam.Pandangan dari sudut lain...bencana alam berlaku mungkin disebabkan oleh tangan tangan manusia yang kotor dan banyah rezeki yang tidak halal....Kuatir Malaysia akan jadi begitu.





4 ulasan:

  1. Wah dah ulas tentang berita pula. Banjir merupakan ujian kepada mereka.

    -wina1979-

    BalasPadam
  2. mungkin negara kita tidak terkecuali dari banjir seperti thailand..malaysia patut bersedia dari sekarang bukannya asik perang politik,parti dan sebagainya....

    BalasPadam

Ulasan dari Blogger terbaik